SharePoint
A- A A+
Home > About TTSH > News > Walau impian jadi jururawat tercapai masih terus ke sekolah mendaki kerjaya
TINGKAT KEMAHIRAN: Cik Erwana kini melanjutkan pengajian di peringkat diploma pula untuk meningkatkan kemahirannya. Beliau bersyukur mempunyai keluarga yang memahami dan menyokong impiannya. Cik Erwana bersama suami, Encik Khairul Anwar Abdul Jabar, dan anak-anak (dari kiri) Nur Zalikha, Muhammad Zehaan Eshan dan Muhammad Zayyan Ehan. – Foto-foto TTSH, ihsan ERWANA ISMAIL

Berita Harian (11 July 2022)

DEMI mencapai cita-cita menjadi seorang jururawat, Cik Erwana Ismail sanggup mengambil jalan panjang dan berliku bagi menceburi bidang tersebut.

Perjalanannya untuk menjadi jururawat mendaftar juga menghendakinya mengorbankan masa bersama keluarga dan meninggalkan buat sementara pekerjaan yang beliau sudah selesa lakukan untuk kembali menjadi pelajar sepenuh masa.

Kini walaupun beliau telah mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang jururawat, Cik Erwana masih mahu melanjutkan pengajiannya untuk melihat sejauh mana beliau boleh pergi dalam usahanya untuk terus mendaki tangga kerjaya.

Ibu tiga anak itu baru-baru ini diberikan Anugerah Merit Jururawat 2022 yang mengiktiraf jururawat yang menampilkan prestasi cemerlang dan luar biasa, menyertai usaha pembangunan profesional serta menyumbang kepada usaha mempertingkat kerjaya jururawat.

Seramai 125 jururawat menerima anugerah kebangsaan tersebut di satu majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec dan dihadiri Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.

Dihubungi Berita Harian (BH) baru-baru ini, Cik Erwana, 36 tahun, berkata beliau terdorong untuk menjadi jururawat setelah melihat penjagaan dan kasih sayang yang diberikan oleh seorang jururawat yang menjaga arwah neneknya yang tidak sihat dahulu.

“Profesionalisme jururawat itu, serta kesabarannya menjawab pertanyaann ahli keluarga dan kasih sayangnya terhadap arwah nenek saya membuat saya kagum dengannya dan mahu turut menjadi jururawat,” kata Cik Erwana.

Selepas tamat pengajian sekolah menengah, beliau membuat permohonan untuk mengikuti kursus Nitec dalam kejururawatan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) tetapi ia ditolak.

Beliau terpaksa menerima pilihan keduanya iaitu kursus Nitec dalam kemahiran pejabat.

Tetapi beliau tidak berputus asa.

Selesai mengikuti kursus itu, Cik Erwana menyertai pula kursus penolong penjagaan kesihatan yang ditawarkan oleh Institut Sains Kesihatan HMI selama dua tahun.

Beliau kemudian menjalani latihan sambil bekerja di Hospital Tan Tock Seng (TTSH) sebagai penolong penjagaan kesihatan dan melakukan tugas penjagaan asas seperti memandikan pesakit atau membantu mereka ke tandas.

Pada waktu itu, beliau masih lagi belum bergelar jururawat, dan Cik Erwana masih lagi tidak berpuas hati kerana belum mencapai cita-citanya.

Selepas menjadi penolong penjagaan kesihatan selama sekitar enam tahun, beliau mengikuti kursus Nitec dalam kejururawatan sebagai pelajar sepenuh masa di bawah tajaan TTSH.

“Apabila saya kembali menjadi pelajar pada waktu itu, saya sudah berumah tangga dan telah dikurniakan cahaya mata pertama. Apabila saya ke sekolah, ibu saya membantu menjaga anak saya,” katanya.

Selepas dua tahun dan dengan sijil Nitec yang diidamkan itu dalam genggaman, Cik Erwana akhirnya bergelar jururawat mendaftar.

Tahun lalu, beliau dinaikkan pangkat menjadi jururawat mendaftar kanan di wad neurologi.

Tugasnya termasuk membimbing penolong penjagaan kesihatan, jururawat mendaftar baru, dan pelajar yang mengikuti latihan kerja di wadnya.

Cik Erwana juga memberi latihan pengasuhan kepada ahli keluarga pesakit dan penjaga mereka agar dapat menjaga pesakit dengan sempurna setelah mereka dibenarkan pulang ke rumah.

Beliau turut bekerjasama dengan pakar pemakanan untuk memperbaiki pemakanan pesakit.

Namun ini tidak bermakna Cik Erwana sudah berbangga dengan dirinya kerana telah mencapai impiannya.

April lalu, beliau kembali bergelar pelajar sepenuh masa, kali ini di politeknik, untuk mengikuti kursus diploma dalam kejururawatan selama dua tahun yang juga dibiayai TTSH.

“Pelajar lain dalam kursus ini 12 tahun lebih muda daripada saya. Tidak mudah untuk saya kembali ke sekolah selepas beberapa tahun bekerja, tetapi saya cuba lakukan yang terbaik mungkin.

“Biasanya kelas bermula sekitar 8 pagi dan adakala habis sekitar 5 petang. Saya ada projek untuk diselesaikan dan ujian untuk diduduki jadi saya perlu bijak mengatur masa di rumah untuk mengulang kaji pelajaran dan menyelesaikan tugasan sekolah.

“Mujur kini saya mempunyai seorang pembantu untuk tengok-tengokkan anak-anak saya yang berusia sembilan, lima dan empat tahun,” kata Cik Erwana.

Selesai pengajian di politeknik nanti, beliau merancang untuk melanjutkan pengajian lagi ke peringkat seterusnya jika diberi peluang, dan terus bekerja di TTSH.

TAK MUDAH KEMBALI BERSEKOLAH SELEPAS BERTAHUN KERJA

“Tidak mudah untuk saya kembali ke sekolah selepas beberapa tahun bekerja, tetapi saya cuba lakukan yang terbaik mungkin.

Biasanya kelas bermula sekitar 8 pagi dan adakala habis sekitar 5 petang.

...Mujur kini saya mempunyai seorang pembantu untuk tengok-tengokkan anak-anak saya yang berusia sembilan, lima dan empat tahun.’’

– Cik Erwana Ismail.

















2022/07/14
Last Updated on